Terakhir dikemaskini : 09 November 2017 12:31:02 PM
Panduan Pengguna
A+ a- R

Pernyataan Korporat Akademi JPJ Malaysia : Pengenalan

Kewujudan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia merupakan pemangkin kepada usaha-usaha pembangunan sumber manusia di Jabatan Pengangkutan Jalan menerusi perancangan dan pelaksanaan latihan yang berkualiti. Penubuhan Akademi ini juga akan dapat mengukuhkan potensi modal insan JPJ agar sentiasa releven dengan senario semasa di mana kakitangan JPJ perlu dilatih dengan aplikasi terkini, menyerap sistem dan pemikiran baru, mengamalkan nilai murni dan ada jati diri malah memiliki daya usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat selaku pelanggan.


Terletak di Kilometer 15, Jalan Tiang Dua, Air Molek, Melaka, lokasi Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia ini begitu strategik dengan kedudukannya yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah dan lebih kurang 20 kilometer dari pintu masuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Air Keroh.

Dengan keluasan tanah kira-kira 68.058 hektar / 168.175 ekar, Projek Fasa Satu pembinaan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia ini telah dijalankan mulai dari 20 Mac 2000 dan siap pada 18 Jun 2001 dengan melibatkan kos sebanyak RM25.406 juta. Pembinaan projek Fasa Satu ini meliputi pembinaan Blok Pentadbiran, Asrama, Dewan Makan, Padang Kawad dan Larian Berhalang.

Pada 17 Oktober 2002, Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik, Menteri Pengangkutan Malaysia telah merasmikan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Melaka. 



Visi Akademi

Visi Akademi adalah Melahirkan warga JPJ yang berdisiplin, berhemah tinggi, beradab, berbudaya dan berkemahiran serta responsif dan berupaya menyumbang ke arah kecemerlangan negara.


Misi Akademi

Menyumbang ke arah kecemerlangan JPJ sebagai organisasi yang unggul melalui pelaksanaan latihan yang berkualiti.

Bagi mencapai matlamat ini, Akademi komited untuk menggunakan teknologi-teknologi terkini bagi mendorong pembelajaran dengan berpegang teguh kepada 5 nilai-nilai bersama berikut:

  • Integriti dan Akauntabiliti
    Melaksanakan amanah dan kuasa dengan jujur, adil dan saksama serta berkhidmat dengan komited dan bertanggungjawab
  • Kecemerlangan Diri dan Organisasi
    Menjalankan tugas dengan tabah, tekun, istiqamah, redha dan sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan diri melalui pembelajaran sepanjang hayat.
  • Profesionalisme Dalam Perkhidmatan
    Sentiasa mengamalkan profesionalisme yang tinggi serta bersedia bertindak untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
  • Mesra Jagat
    Mempunyai perasaan prihatin, mesra, penyayang, ceria , peka dan empati.
  • Kerja Berpasukan
    Mempunyai semangat kekitaan, bekerjasama, bertolak ansur dan sifat setia kawan serta muafakat yang tinggi untuk mencapai visi dan misi Jabatan.