Terakhir dikemaskini : 16 August 2017 10:59:15 AM
Panduan Pengguna
A+ a- R

Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Utara : Sepintas Lalu


Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Utara, Langkawi telah dirasmikan pada 15 November 1998 oleh Yang Berbahagia, Dato’ Pahamin bin A. Rajab, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia ketika itu. Idea untuk membangunkan akademi ini telah dicetuskan sejak tahun 1994 dengan cadangan dinamakan sebagai “Institut Latihan Mini JPJ Langkawi“ yang mempunyai keluasan 2.027 hektar / 5 ekar. Kelulusan serta peruntukan kewangan sebanyak RM800,000.00 dari pihak pengurusan JPJ Malaysia serta Kementerian Kewangan telah diperolehi pada September 1995 dan JPJ Negeri Kedah telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkannya di bawah “Program Kontraktor Berwibawa”.

Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia : Pandangan dari Pejabat JPJ

Walau bagaimanapun, berikutan timbulnya beberapa kesulitan yang tidak dapat dielakkan, telah memaksa projek ini ditangguhkan sehinggalah pada September 1997, Syarikat Saidin b. Aji Recources Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai kontraktor pembinaan projek dan pemilikan tapak telah dibuat pada 15 Disember 1997 serta tarikh siap projek telah ditetapkan pada 31 Mei 1998. Penangguhan projek yang mengambil masa selama 2 tahun ini telah turut mempengaruhi peningkatan kos pembinaannya daripada RM800,000.00 kepada RM1,200,000.00, sekaligus turut menjejaskan tarikh siap pembinaan projek, hinggakan penyerahan bangunan secara rasmi oleh pihak Jabatan Kerja Raya hanya dapat dilakukan pada 14 November 1998. 

Penyerahan bangunan ini telah membolehkan Majlis Perasmian Bangunan Pusat Bina JPJ Malaysia, Langkawi yang ditukarkan dari nama asalnya “Institut Latihan Mini JPJ Langkawi” disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah pada  15 November 1998. Serentak dengan program perasmian tersebut, Kursus Keutuhan Dan Pengurusan Pegawai JPJ Malaysia telah diadakan bermula dari 13 hingga 16 November 1998 dan dicatatkan sebagai kursus pertama yang dijalankan di akademi ini. Seiringan dengan perubahan semasa serta tanggungjawab yang semakin mencabar, maka melalui surat Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat JPJ Malaysia rujukan (61)dlm.JPJ.(02.1)287/9 bertarikh 26 Februari 2001, akademi ini sekali lagi mengalami pertukaran namanya dengan dinaikkan taraf daripada Pusat Bina JPJ Malaysia, Langkawi kepada Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Utara, Langkawi sehinggalah kini. Keputusan menaiktarafkan akademi ini telah diputuskan di dalam Mesyuarat Pengurusan JPJ Malaysia Bil. 1/2001.   

Setelah 5 tahun beroperasi sebagai Pusat Latihan JPJ, beberapa kerosakan ketara pada bangunan telah dikesan. Pada 31 Disember 2003, satu kertas cadangan “ Projek Pembangunan” telah dikemukakan kepada pihak pengurusan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia berdasarkan anggaran kos pembaikan yang dikemukakan oleh pihak JKR melalui suratnya rujukan(2)JKR/L.BPA(A)24 bertarikh 25 Ogos 2003- RM 349,775.79.

Lanjutan daripada kertas cadangan yang dikemukakan ,beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan isu-isu berkaitan dan lawatan tapak(penilaian kerosakan) oleh pihak Akademi Induk,Ibu Pejabat JPJ Malaysia dan JKR telah diadakan.Pada 6 Februari 2005,pemeriksaan keselamatan bangunan telah dilakukan oleh pihak JKR dan pada 25 Februari 2005 ,melalui surat rujukan (131)JKR/LA(A)23 Jld 1,pihak JKR telah mengeluarkan arahan supaya bangunan akademi dikosongkan berikutan “ keadaan bangunan yang agak merbahaya kepada penghuni”

Mulai tarikh tersebut,perlaksanaan kursus yang telah dirancang untuk dilaksanakan di Akademi PengangkutanJalan Malaysia wilayah Utara,Langkawi telah dilaksanakan di Akademi Induk dan Akademi Wilayah Selatan/Timur. Terdapat juga kursus-kursus yang dilaksanakan dengan menyewa kemudahan agensi luar.

Pada 25 Mei 2006, melalui Mesyuarat Koordinasi Perlaksanaan Projek Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Utara,Langkawi Bil. 1/06,satu ketetapan untuk membina bangunan baru Akademi ini di bawah RMK9 dengan peruntukan kos anggaran kasar RM7,000,000.00 telah diputuskan.Pada 29 Disember 2006,kenyataan tender bagi pembinaan bangunan baru Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Utara,Langkawi telah ditawarkan oleh pihak JKR kepada kontraktor-kontraktor ‘Bumiputra’  Kelas ‘B’. Syarikat BRIGHTROAD CONSTRUCTION SDN BHD telah dilantik sebagai kontraktor pembinaan projek.

Pemilikan tapak telah dibuat pada 23 April 2007 dan tarikh siap projek ditetapkan pada 21 Julai 2008.Walau bagaimanapun penyerahan bangunan secara rasmi oleh pihak JKR hanya dapat dilakukan pada 23 Februari 2009.