Terakhir dikemaskini : 11 December 2017 4:53:52 PM
Panduan Pengguna
A+ a- R

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) : Pengenalan

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA)


MAMPU telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi‚Äďagensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam.

Secara khususnya, penjenamaan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk membolehkan agensi kerajaan:
  • memperluas pelaksanaan di agensi-agensi Kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif;;
  • meningkatkan imej korporat;
  • menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan pihak berkepentingan;
  • menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Amalan Hijau; dan;
  • memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian agensi Kerajaan. 
Selain daripada itu, EKSA juga memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi Kriteria Generik dan Kriteria Khusus dengan turut mengambil kira kepelbagaian premis agensi Kerajaan mengikut jenis-jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan one-size-fits-all yang dipraktikkan sebelum ini didapati kurang memadai untuk memenuhi keperluan kepelbagaian agensi Kerajaan pada masa ini. Justeru, penilaian EKSA ini akan disesuaikan mengikut lokaliti agensi yang diaudit.

Kesimpulannya, EKSA yang diperkenalkan ini bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang telah sedia ada diamalkan, sebaliknya menambah baik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang kondusif.

Apa itu Amalan 5S?

Amalan 5S merupakan satu kaedah pengurusan yang dipelopori oleh pihak industri di Jepun bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Amalan 5S bermatlamat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal. Pelaksanaan Amalan 5S yang berkesan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja.

Selain memberi keutamaan kepada aspek kebersihan, kekemasan dan keselamatan di tempat kerja, Amalan 5S berupaya memperkukuhkan lagi Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan/Agensi berasaskan Standard MS ISO 9000, khususnya dalam memenuhi keperluan klausa Pengurusan Sumber berkaitan Persekitaran Kerja. Pelaksanaan Amalan 5S yang cekap, berkesan dan konsisten akan memberi nilai tambah kepada imej korporat Jabatan/Agensi secara keseluruhan.

Pelaksanaan Amalan 5S Peringkat Akademi 

Di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Amalan 5S ini bermula pada awal tahun 2012 dan dalam peringkat untuk persijilan MAMPU. Kakitangan juga telah diberikan latihan berkaitan Amalan 5S dan beberapa kakitangan telah dihantar ke agensi yang telah melaksanakan Amalan 5S bagi melihat contoh dan juga proses kerja yang dilaksanakan bagi diaplikasikan di Akademi. 

Contoh bahan kempen Amalan 5S yang dihantar ke email kakitangan setiap hari sepanjang tempoh kempen Amalan 5S pada bulan November dan Disember 2012

Kakitangan juga diberikan kempen kesedaran Amalan 5S melalui hebahan seperti bunting, email harian yang memberikan tips dan motivasi dan juga melalui Akademi TV.


Contoh bunting yang digunakan sepanjang kempen Amalan 5S dijalankan di Akademi JPJ

Dokumen Panduan

Bagi melancarkan lagi proses kerja EKSA, dokumen-dokumen berikut boleh digunakan untuk membuat rujukan  : 

  1. Maklumat Lanjut EKSA (MAMPU)
  2. Panduan Amalan 5S Sektor Awam (Diterbitkan oleh MAMPU)
  3. Nota Amalan 5S (Bergrafik)
  4. Garis Panduan Amalan 5S Jabatan
Maklumat-makumat dan perkembangan EKSA di Akademi akan dihebahkan secara berkala di laman web ini. Teruskan bersama kami.